THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, September 3, 2009

Angkatkan martabat Bahasa Melayu

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152.

Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia.

Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menukar istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan.

Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel” digunakan secara meluas di Putrajaya.

Apakah dengan menggunakan istilah-istilah sedemikian maka ia akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Sudah tentu tidak, malah ia menyumbang kepada dua kesan iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa.

Ia menyumbang kepada kekeliruan minda melalui persoalan apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan untuk dijadikan nama jalan dan tempat di negara kita.

Ia menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila kita secara terbuka menyokong dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri.


Hal sedemikian bukan sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan keperihatinan terhadap perkara ini.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai wadah generasi muda menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat swasta yang diberikan mandat di dalam menyelenggarakan sesebuah penempatan supaya peka dan lebih bertanggungjawab mendaulatkan bahasa kebangsaan di dalam memberi nama jalan dan tempat di dalam kawasan seliaan mereka.

Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk menggunakan nama-nama pemimpin nasional, bunga dan peristiwa perjuangan negara merupakan satu langkah bijak yang harus dilaksanakan dan dicontohi bagi mendidik serta menanam jati diri bangsa.

Kurangnya keperihatinan serta kesedaran sivik kebanyakan anak muda sekarang terhadap pelbagai isu-isu yang berlaku termasuk isu kedaulatan bahasa kebangsaan adalah suatu yang membimbangkan. Sikap acuh tidak acuh dan malu untuk bertutur di dalam bahasa kebangsaan semakin ketara kepada generasi muda pada hari ini.

Kempen dan gerakan massa untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan perlu dijalankan dan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Jikalau budaya berbudi bahasa dijadikan kempen, maka sudah tentu kempen mendaulatkan bahasa Melayu juga harus dijalankan kerana salah satu budaya orang Malaysia adalah bertutur serta berbangga dengan bahasa kebangsaan. Kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka serta gabungan badan bukan kerajaan harus dijalankan bagi melihat bahasa kebangsaan terus didaulatkan dan tidak ditelan arus pemodenan.

Mungkin ramai generasi muda hari ini tidak mengetahui bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar di dunia dan menjadi antara bahasa berpengaruh yang berperanan di dalam penyebaran agama Islam, selain bahasa Arab, Parsi, dan Urdu.

Adalah menjadi harapan kita semua di dalam kita menuju wawasan negara maju pada tahun 2020, kedaulatan bahasa kebangsaan terus utuh terpelihara

LEMBARAN HIDUP WANITA SOLEHAH

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?

Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah

Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah

Penawar hati kekasih Allah

Susah dan senang rela bersama…

Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aisyah?

Isteri Rasulullah yang bijaksana

Pendorong kesusahan dan penderitaan

Tiada sukar untuk dilaksanakan

Mengalir air mataku

Dengan pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah

Akur dalam setiap perintah

Taat dengan ayahnya, yang sentiasa berjuang

Tiada memiliki harta dunia

Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga...

Ketika aku marah

Inginku intip serpihan cabar

Dari catatan hidup Siti Sarah

Tabahlah jiwaku

Setabah ummi Nabi Ismail

Menggendong bayinya yang masih merah

Mencari air penghilang dahaga

Di terik padang pasir merak

Ditinggalkan suami akur tanpa bantah

Pengharapannya hanya pada Allah

Itulah wanita Siti Hajar...

Mampukah aku menjadi wanita solehah?

Mati dalam keunggulan iman

Bersinar indah, harum tersebar

Bagai wanginya pusara Masyitah…